Apa itu Cukai Taksiran Am
Cukai Taksiran Am ialah cukai harta yang dikenakan ke atas semua pegangan / harta di dalam kawasan pentadbiran Majlis berdasarkan kepada nilai tahunan dan kadar tahunan sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Mengapa Cukai Taksiran perlu dikenakan ?
Cukai Taksiran Am dikenakan adalah bertujuan untuk membiayai :
Keperluan pembinaan dan penyelenggaraan kemudahan infrastruktur awam dan prasarana seperti penyediaan kemudahan lampu awam, pondok dan perhentian stesen bas, tandas awam, padang, tempat rekreasi, pasar awam, jalan, parit dan sebagainya.
Menyediakan perkhidmatan pembersihan dalam kawasan pihak berkuasa tempatan seperti di kawasan perumahan, perniagaan, kilang, taman rekreasi dan tempat-tempat awam melalui perkhidmatan pungut sampah, pemotongan rumput, landskap, pengindahan bandar dan lain-lain.
Menyedia dan menyelenggara medan selera, lampu-lampu jalan dan longkang di kawasan tumpuan utama, kesemua ini adalah untuk menjamin kesejahteraan rakyat khususnya penduduk dalam kawasan pihak berkuasa tempatan.
Bagaimana Cukai Taksiran diambilkira?
Cukai Taksiran Am dikenakan adalah berdasarkan kepada nilai tahunan dan peratus kadar tahunan.
Nilai tahunan semasa diambilkira berdasarkan aras nilai sewa semasa sebagai asas pengiraan proses penyediaan senarai nilaian yang dikuatkuasakan.
Kadar tahunan semasa yang diwartakan dan dikenakan mengikut kategori jenis harta, keluasan binaan dan lokasi harta.
Contoh Pengiraan
Jika sesuatu pegangan harta mempunyai :
Nilai Sewa bulanan : RM 400.00
Nilai Tahunan : RM 400.00 X 12= RM 4,800.00
Kadar Tahunan : 4%
Maka,
Cukai Taksiran Am bagi pegangan tersebut adalah seperti berikut :
RM 4,800.00 x 4% = RM 192.00 setahun